Thursday, August 19, 2010

Sejarah Pertubuhan Gerak Silat Lian Malaysia



  

LIAN adalah perkataan dalam bahasa Yunan, bermaksud "SILAT" dalam bahasa
Melayu atau cara-cara atau teknik-teknik beladiri. Itulah yang dianggap oleh Guru Silat
Lian pada satu masa dahulu. Bagi kami daripada Pertubuhan Gerak Silat Lian Malaysia
beranggapan sebagai 'L'- Latihan, 'I'-Istikamah, 'A'-Anggota, 'N'-Nafas. Iaitu penyatuan
segala gerak laku tubuh adalah bergantung semata-mata kepada kemampuan nafas.
         
Gerak Silat Lian ini pula adalah sejenis cara mempertahankan diri yang berasal dari
Yunan. Nama asal persilatan ini ialah LIAN YUNAN, BUAH PUKUL MERSING, atau
LIAN 13. Ianya telah berkembang di Tanah Melayu pada zaman dahulu dan sejarahnya
telah dicatat pada mulanya oleh Syed Abdul Rahman pada Februari 1897 di Bandar
Maharani, Muar. Pergerakan jurusnya ada sedikit kelainan mengikut guru-guru Lian
yang mengembangkannya. tetapi ianya tetap Lian dan juga tetap Buah Pukul, asalnya
dari satu keturunan, demikian dinyatakan oleh Guru Tua Ali Bin Kassim dari Endau,
Johor. Di dalam Aliran Gerak Silat Lian ianya perlu diketahui ukuran jangka musuh,
gerak ini perlu dipelajari dan dihayati kerana ianya adalah "Senjata Bagi Kita dan
Rahsia Bagi Musuh".
           Gerak Silat Lian ini dikembangkan di Kuantan, Pahang oleh En. Nazri Bin
Hussin. PJK., di mana beliau telah mempelajari silat ini daripada Encik Salleh Bin
Mamat yang berasal dari Kampung Ibai, Kuala Terengganu. Encik Salleh bin Mamat ini
adalah seorang nelayan yang berpindah dari kampung asalnya dan tinggal di Kampung
Tanjung Api, Kuantan. Encik Nazri Bin Hussin mula belajar silat ini pada tahun 1964 di
Kampung Tanjung Api, Kuantan. Beliau telah di iktiraf sebagai Pembantu Gelanggang
(Guru Kake) pada tahun 1965 hingga 1985. Pada tahun 1988, beliau telah di lantik
sebagai Guru Kanan dan Guru Utama Gerak Silat Lian dengan restu guru daripada
Encik Salleh Bin Mamat iaitu Encik Hassan Bin Salleh yang tinggal di Kampung Gong
Dato', Mengambang, Telipot, Kuala Terengganu.
      Encik Salleh Bin Mamat adalah seorang pesilat Seni Silat Gayong Terengganu.
Beliau telah mempelajari Silat Lian daripada Encik Hassan Bin Salleh semasa bekerja
sebagai nelayan di Kampung Mengambang, Telipot, Kuala Terengganu kira-kira dalam
tahun 1950-an. Manakala Encik Hassan Bin Salleh adalah murid kepada Guru Tua iaitu
Encik Ali Bin Kassim. Encik Hassan Bin Salleh telah belajar di Kampung Belimbing
Juling, Endau, Johor daripada Guru Tua Silat Lian Encik Ali Bin Kassim kira-kira dalam
tahun 1940-an, di mana pada ketika itu Encik Hassan Bin Salleh bekerja dengan Encik
Ali Bin Kassim, mencari Rotan Manau pada masa itu. Beliau juga sempat berulang-alik
dari Kuantan ke Kuala Terengganu untuk menambah pengetahuan dan belajar
selok-belok Silat Lian daripada Encik Hassan Bin Salleh yang tinggal di Kampung Gong
Dato', Telipot, Kuala Terengganu dari tahun 1965 hingga 1994.
      Beliau juga sempat mengambil ketetapan gerak laku Silat Lian ini daripada Encik
Ali Bin Kassim dalam tahun 1986 hingga 1987 dan perkembangan ini telah dikemaskini
dengan lebih teratur dengan membentuk satu jawatankuasa bagi perkembangan dan
kemajuan Gerak Silat Lian yang kini telah bergerak dengan pesatnya di bawah
pimpinan Guru Utama En. Nazri Bin Hussin. PJK., di mana ianya berpusat di Kuantan,
Pahang. Sehingga kini pelbagai pengemaskini dari segi sistem pengajaran dan
pembelajaran telah dibuat melalui Majlis Perguruan Gerak Silat Lian. Gerak Silat Lian
telah dipertubuhkan pada 19 Disember 1996 dan kenali dengan nama Pertubuhan
Gerak Silat Lian Malaysia   ( PGSLM ).



" Guru itu lelaki, Murid tu perempuan,
Guru berpegang pada gerak, Murid berpegang pada anggota,
Kerana Guru itu pandang gerak jaga anggota, Tetapi murid itu pandang anggota jaga
gerak,
Guru itu pandang satu nampak lapan, Murid itu pandang lapan nampak satu"
  Maka dengan kelebihan Guru itu kata Pak Yee, haruslah pesilat-pesilat memahami
kata orang tua-tua iaitu :-


" Kalau pun kita pandai, janganlah dicakapkan sangat,
Kalau pun kita berani, janganlah ditunjukkan sangat,
Kalaupun kita penakut, janganlah dinampakkan sangat,
Kalau pun kita bodoh, janganlah diterangkan sangat,
Kalaupun kita kaya, janganlah dihebohkan sangat,
Kalau pun kita miskin, janganlah diketarakan sangat……

Nazri Hussin

No comments:

Post a Comment

http://bit.ly/17xmDgK